Monday, August 9, 2010

Isra' & Mikraj

Assalamualaikum wbt..
alhamdulillah.. semperna Bulan Rejab yg mulia nie..Allah SWT telah membukakan hti sya untuk sama2 berkongsi ttg Isra' & Mikraj yg pada tahun ini jatuh pada hari SABTU 10/07/2010 = 27 REJAB...
sblum memulakan bicara ingin sya nyatakan sumber2 kisah yg saya ambil berkenaan Isra'&Mikraj ini sbgai rujukan rakan2 seperjuangan sekalian..
-lman web rasmi jabatan kemajuan islam malaysia
-blog 100 warna pelangi
- surah al-Isra'

[seandainya ada sebarang kekhilafan mohon sahabat2 sekalian membetulkan..sy juga hamba Allah yg masih mendalami ilmu agama Islam ini yg tidak pernas terlepas dri melakukan ksilapan..sgala teguran dan nasihat sya dahulukan dgn ucapan Syukran Jazilan..mudah2an dgn info ini dpt menambahkan lagi ilmu kita berkenaan hikmah Isra'& Mikraj sekaligus mengukuhkan keimanan kita..insyaAllah..]

Kisah ini merupakan rentetan peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Muhammad saw. secara real sebagai satu anugerah dan penghormatan Allah kepada baginda untuk memberikan satu pengiktirafan yang teragung kepada Penghulu segala nabi dan rasul. Ia juga merupakan satu mukjizat yang tidak diberi kepada mana-mana rasul sebelum ini. Selain itu, ia juga adalah merupakan satu perutusan diraja untuk penyampaian anugerah yang paling agung iaitu solat. Kesemua ibadat seperti zakat, puasa atau haji disampaikan melalui malaikat Jibril, tetapi solat oleh sebab ketinggian darjatnya, ia disampaikan secara langsung melalui satu peristiwa gemilang lagi kudus di antara Rabbul Jalil dengan Nabi Muhammad saw. Inilah detik teragung dan pengalaman yang paling manis buat Nabi Muhammad setelah mengalami tekanan perasaan apabila dua orang penyokong kuatnya iaitu Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib meninggal dunia.

Perlu dinyatakan di sini bahwa oleh kerana kejadian ini berlaku secara 'luarbiasa', kita jangan sekali-kali mempertikaikan kesahehannya. Ia mesti dipandang sebagai satu kebenaran sebab ia adalah mukjizat Allah dan juga termaktub di dalam Al-Quran, sebagaimana yang tercatat di atas. Sebenarnya Israk Mikraj menguji keimanan kita. Mereka yang percaya adalah manusia pilihan Allah manakala yang meragui kebenaran ini termasuk dalam kumpulan Abu Jahal yang mendustakannya. Manusia pertama yang percaya bulat-bulat 100% ialah Saidinia Abu Bakar. Lantas dia digelar As-Siddiq. Perjalanan misteri ini adalah melibatkan jasad dan ruh Nabi Muhammad bukannya ruh saja (seperti dalam mimpi) sepertimana yang didakwa oleh orientalis. Dalam kesempatan ini saya perturunkan kisah tersebut secara agak detail supaya dapat dikongsi bersama dan dijadikan bahan renungan untuk dijadikan iktibar. Yang baik kita jadikan teladan manakala yang buruk kita jadikan sempadan.

Kejadian Isra' (perjalanan dari Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis) dan Mikraj (perjalanan dari alam bumi ke alam langit hingga ke Sidratul Muntaha) ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum hijrah. Ketika itu Nabi sedang berbaring-baring bersama Saidina Hamzah dan Saidina Ja'afar di Hijr Ismail (Masjidil Haram), tiba-tiba datang malaikat Jibril dan Mikail mengangkat Nabi ke telaga Zamzam. Di sana Nabi ditelentangkan dan berlakulah pembedahan di mana dada Nabi dibedah untuk dikeluarkan hatinya. Hati nabi dicuci dengan air zamzam. Kemudian dimasukkan semula bersama unsur ruhani iman dan hikmat. Setelah itu dadanya dijahit dan dimatrikan dengan khatimin nubuwwah. (Kejadian ini menjelaskan kepada kita bahawa peringkat pertama untuk berjalan menuju Allah ialah pembersihan diri dari segi jasmani dan rohani).

Selesai Nabi Muhammad menjalani operasi pembersihan jasmani dan rohani, baginda dipersilakan oleh Jibril untuk menunggang sejenis kenderaan yang amat canggih iaitu Buraq (seekor binatang dari alam malakut yang mempunyai pergerakan yang teramat laju). Mengikut satu riwayat Buraq yang dipilih oleh Jibril ini merupakan satu-satunya haiwan yang mempunyai ciri teristimewa kerana sejak mendengar nama Nabi Muhammad, ia tidak tahan menanggung rindu sehingga tidak lalu untuk makan dan minum, bahkan saban masa duduk menangis tersedu-sedu. (Peristiwa ini menggambarkan kepada kita sedangkan seekor haiwan mempunyai rasa hormat yang amat tinggi terhadap Nabi Muhammad, betapa hal dengan diri kita yang mengaku sebagai umat Muhammad)

Buraq yang dibawa oleh Jibril itu agak liar tetapi bila Jibril mengatakan yang Nabi Muhammad akan naik di belakangnya, badannya berpeluh dan dengan rasa malu merendahkan badannya untuk ditunggang oleh Nabi. Buraq terus membawa Nabi dengan diiringi oleh Jibril di sebelah kanan dan Mikail di sebelah kiri. Maka bermulalah perjalanan yang amat bersejarah.

Beberapa minit perjalanan, sampailah di suatu tempat bernama Thaibah (Medina). Di sini Jibril menyuruh Nabi berhenti untuk melakukan solat 2 rakaat dan memberitahu di sinilah kelak Nabi akan melakukan hijrah. Kemudian perjalanan diteruskan lagi hingga sampai di satu tempat iaitu Bukit Tursina, iaitu tempat di mana Nabi Musa menerima wahyu. Di sini Nabi berhenti untuk melakukan solat dua rakaat. Perhentian seterusnya ialah di Baitul Laham, tempat kelahiran Nabi Isa, di mana Nabi sekali lagi mengerjakan solat. (Peristiwa ini menggambarkan kepada kita tentang perlunya mengerjakan solat sunat apabila singgah di masjid atau di tempat-tempat yang mulia)

Perjalanan diteruskan lagi. Dalam perjalanan ke Baitul Maqdis, Nabi diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa simbolik yang ganjil-ganjil. Setiap kali melihatnya, Jibril menerangkan hakikat sebenar peristiwa tersebut. Di antaranya adalah:


* Jin Ifrit membawa obor (api) sambil mengejar Nabi dari belakang

Malaikat Jibril ajarkan doa menagkis serangan jin. Apabila Nabi membacanya, jin tersungkur

* Sekumpulan manusia memecahkan kepala sendiri. Apabila bercantum dipecahkan lagi tanpa henti.

Balasan bagi orang yang tidak mengerjakan sembahyang

* Sekumpulan manusia memakai cawat dihalau untuk makan buah berduri yang amat pahit atau api neraka.

Balasan bagi mereka yang tidak mengeluarkan zakat

* Sekumpulan manusia dihidangkan dengan 2 mangkuk berisi daging masak dan daging mentah yang busuk. Mereka memilih daging mentah

Gambaran manusia yang berzina sedangkan mereka mempunyai pasangan yang sah.

* Beberapa orang tidak berdaya mengangkat seberkas kayu tetapi menambahkan lagi bebanan

Gambaran orang yang diamanahkan sesuatu tugas, walaupun tidak mampu melaksanakannya tapi menerima amanah/tugas lain.

* Beberapa orang menggunting lidah dan bibir sendiri dengan gunting besi. Apabila bersambung semula digunting lagi tanpa henti.

Perbandingan orang yang menyuruh orang lain berbuat baik tapi dia sendiri tidak melakukannya.

* Sekumpulan orang berkuku tembaga menggaru muka dan dadanya sendiri sehingga habis daging, namun masih menggaru lagi.

Gambaran orang yang mengumpat dan membuka rahsia orang kepada orang lain serta menjatuhkan maruah mereka.

* Seekor lembu keluar dari satu lubang yang sempit, kemudian cuba masuk semula ke lubang itu tetapi tidak boleh.

Gambaran pasangan lelaki dan perempuan asing berbual perkara lucah, kemudian menyesal tapi tidak mampu menarik perkataannya.

* Seorang lelaki datang dari arah kanan Nabi meminta Nabi berhenti seolah-olah hendak bertanya sesuatu.

Seruan orang Yahudi. Jibril menerangkan jika Nabi melayan, nescaya ramai umatnya menjadi Yahudi

* Seorang lagi datang dari arah kiri merayu Nabi supaya berhenti

Seruan orang Nasrani menghalang sebaran Islam

* Seorang wanita dengan perhiasan yang sarat meminta Nabi berhenti

Gambaran tipu daya dunia. Jika Nabi menjawab ramai akan terpesona dengan keduniaan.

* Orang tua duduk di tepi jalan seraya menyuruh Nabi berhenti

Seruan Iblis cuba menghalang usaha dakwah

* Seorang wanita bongkok tiga menahan Nabi untuk bertanya sesuatu

Gambaran umur dunia yang sangat tua dan tunggu saat untuk kiamat

* Nabi tercium bau yang amat harum

Tempat Mashitah dibunuh kerana mempertahankan keimanannya sehingga dia dan keluarga menjadi mangsa kepada Firaun.

* Kayu merentangi jalan sehingga menyukarkan orang lalu-lalang

Gambaran orang yang suka berpeleseran dan melepak

* Sekumpulan orang berenang di dalam sungai darah. Mereka dilempar dengan batu. Batu-batu itu diambil dan dimakannya.

Gambaran orang yang makan riba'

* Sekumpulan manusia menanam gandum. Sesaat kemudian berbuah dan dituai.

Gambaran orang yang suka membelanjakan harta untuk perjuangan menegakkan kalimah Allah.

Selepas menyaksikan pelbagai jenis panorama, akhirnya sampailah mereka di Baitul Maqdis. Di sana telah menanti satu jemaah para nabi terdahulu. Nabi Muhammad saw solat tahyatul masjid dan Jibril menyuruh Nabi mengimami solat bersama barisan nabi terdahulu.

Kemudian Nabi dihidangkan dengan tiga gelas minuman berisi susu, arak dan madu. Nabi memilih gelas berisi susu, minuman fitrah manusia.

Selesai upacara Israk, sampai ketika Nabi Muhammad diMikrajkan. Sejenis tangga yang canggih seakan escalator membawa Nabi ke angkasa. Maka bermulalah episod mikraj dari langit pertama hingga ke tujuh dan kemudiannya ke Sidaratul Muntaha. Setiap kali melalui lapisan langit, Jibril memberi salam dan sebaik Malaikat penjaga langit membuka pintu, Nabi Muhammad saw diperkenalkan dengan nabi yang sedia menunggu di situ. Kesemua nabi mendoakan kesejahteraan ke atas Nabi Muhammad.

Langit pertama Nabi berjumpa Nabi Adam, bapa segala manusia.
Langit kedua Berjumpa dengan Nabi Isa dan Yahya.
Langit ketiga Berjumpa dengan Nabi Yusof
Langit keempat Berjumpa dengan Nabi Idris
Langit kelima Berjumpa dengan Nabi Harun
Langit keenam Berjumpa dengan Nabi Musa
Langit ketujuh Berjumpa dengan Nabi Ibrahim


ISRAK MIKRAJ: MENCARI PANDUAN KETAMADUNAN

Samsu Adabi Mamat


Peristiwa israk mikraj merupakan salah satu peristiwa penting dalam rakaman sejarah kehidupan Nabi SAW Peristiwa ini bukan sahaja penting kepada Nabi SAW semata-mata, malah ianya amat penting sekali kepada seluruh Umat Islam.


Sebagaimana diakui dalam banyak tulisan bahawa: “…Satu-satunya peristiwa yang paling penting berlaku pada tahun terakhir Nabi di Mekah ialah peristiwa israk dan mikraj. Peristiwa ini merupakan satu peristiwa yang paling berkesan dalam kehidupan beragama…”(Seyyed Hossein Nasr, 1994, hlm.16)

Realiti kisah Israk mi’raj ini berlaku pada tahun 621M (Hayat Muhammad,1986, hlm.151). Dalam satu tulisan lain pula menyebut peristiwa ini berlaku pada hari ke 27 dari bulan Rejab. Dalam tulisan Syed Hussein Nasr pula menerangkan bahawa peristiwa ini berlaku pada salah satu malam ganjil dari sepuluh malam penghabisan dalam bulan Ramadhan. (1994, hlm.16)

Kepada Nabi SAW peristiwa ini adalah suatu anugerah tertinggi Allah kepada Baginda sebagai Nabi kekasih Allah, di mana berlakunya pertemuan yang begitu shahdu dan qudus di antara baginda dengan Tuhannya.

Kepada Umat Islam keseluruhannya pula ianya telah mencetuskan banyak pemahaman dan perbincangan. Dalam banyak tulisan, kebanyakannya mempunyai persepsi-persepsi sebagaimana berikut:

1. Kalangan orang Islam ada yang menolak peristiwa ini kerana dianggap bertentangan dengan akal.
2. Kalangan orang Islam juga ada yang berhujah masing-masingnya tentang berlakunya peristiwa ini sama ada secara roh sahaja atau secara roh dan jasad.
3. Kalangan orang Islam pula ramai melihat peristiwa ini penting di dalam membangunkan peraturan sosial Islam seperti larangan riba, mengumpat, perbuatan zina dan lain-lain.
4. Kalangan Muslim juga ramai yang melihat peristiwa ini dari aspek saintifik yang harus membuka minda masyarakat untuk pembangunan kemajuan umat Islam dan manusia keseluruhannya.



Masalah pertama ialah masalah pemikiran manusia yang menilai benar atau tidaknya peristiwa ini, khayalan atau realiti. Hal ini dapat dilihat contohnya pertama kali Nabi SAW memberitahu kaumnya, ramai yang menafikannya malah mula menghina Nabi. Malah ada kalangan Orang Islam awal yang mula meragui kebenaran Nabi s.a.w. Kalangan masyarakat Islam moden pula ada yang berlandaskan rasional semata-mata seolah menafikan peristiwa ini. Sebagaimana dijelaskan dalam satu tulisan bahawa; Mikraj merupakan peristiwa yang paling payah difahami oleh orang yang terjebak dengan dimensi reality alam fizikal semata mata. Mikraj Nabi SAW pada masa yang sama merupakan satu peristiwa yang paling payah diterima terutama sekali di kalangan generasi muda umat Islam yang sudah terpengaruh sepenuhnya dengan pandangan hidup berasaskan pernyataan sains moden. (Seyyed Hussein Nasr, 1994. hlm.16 & 24)



Sebenarnya kebimbangan orang-orang terdekat dengan Nabi SAW tentang ketidakpercayaan masyarakat tentang kisah mikraj ini apabila diceritakan kepada masyarakat umum ketika itu sudah pun digambarkan dari awal lagi. Contohnya Ibnu Hisham berkata bahawa seperti disampaikan kepadaku dari Ummu Hani binti Abdul Muthalib r.a (nama aslinya Hindun) tentang Isra’ Rasulullah s.a.w. Ummu Hani berkata; “,…setelah Baginda solat subuh baginda berkata “, Wahai ummu Hani’ sungguh aku telah solat isya akhir di lembah ini seperti yang engkau lihat, kemudian aku datang ke Baitul Maqdis dan solat di dalamnya, kemudian aku mengerjakan solat subuh bersama kalian sekarang seperti yang kalian lihat, ….aku (Hindun) berkata kepada baginda, ‘wahai Nabi Allah SAW jangan ceritakan peristiwa ini kepada manusia, sebab nanti mereka mendustakanmu dan menyakitimu’. Rasulullah SAW bersabda’ “ Demi Allah aku pasti menceritakan peristiwa ini kepada mereka. (Ibn Hisham, Sirah, 2002. hlm.363)


Masalah kedua pula, perselisihan pandangan berlaku mengenai samada peristiwa ini berlaku keatas Nabi secara roh sahaja atau jasad dan roh sekali. Masalah ini tidaklah seburuk masalah pertama yang tidak percaya kepada peristiwa israk dan mikraj ini. Dalam hal kedua ini, mereka mengakui kebenaran berlakunya Isra mikraj, namun berselisih pandangan adakah ianya berlaku secara roh atau mimpi sahaja atau adakah ianya berlaku secara pergerakan dan pengembaraan fizikal iaitu secara jasad dan Roh. Contohnya ; Ibn Ishak berkata bahawa Ya’kub bin Utbah bin al-Mughirah bin al-Akhnas berkata kepadaku jika Muawiyah bin Abu Sufyan ditanya tentang peristiwa isra’ Rasulullah s.a.w maka ia berkata: “sungguh mimpi-mimpi dari Allah adalah benar” (Ibn Hisham, 2002, hlm.361). Ini adalah salah satu contoh pandangan awal dalam sejarah Islam bahawa peristiwa ini mengikut satu pandangan berlaku tidak secara jasad tetapi secara roh sahaja.

Walau bagaimanapun tindakbalas dan reaksi manusia Islam terhadap peristiwa ini yang penting sekali adalah ianya suaTu reality yang benar-benar berlaku dan termaktub di dalam al-Quran:surah al-Isra’ ayat 1. yang bermaksud: Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan Kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. (surah al-Isra. 17:1)

Ibn Ishak dalam menyatakan mengenai periwayat-periwayat hadis israk dan mikraj bahawa; ….“mereka semua meriwayatkan dari Rasulullah SAW sebahagian dari apa yang beliau sebutkan tentang peristiwa israk yang beliau alami, . Sungguh pada peristiwa israk yang beliau jalani dan apa yang beliau sebutkan di dalamnya terdapat tujuan, seleksi dan salah satu bukti kekuasaan Allah. Di dalamnya juga terdapat pelajaran bagi orang-orang berakal,, petunjuk, rahmat pengukuhan bagi orang yang beriman kepada Allah dan membenarkannya. Sungguh peristiwa isra’ adalah salah satu bukti kekuasaan Allah. Allah SWT mengisra’kan baginda seperti yang di kehendaki-Nya untuk memperlihatkan ayat-ayat-Nya kepada yang Dia inginkan, hingga beliau boleh menyaksikan bukti-bukti kekuasaannya dan kemampuannya mengerjakan apa sahaja yang diingininya. (IH, 358)


Oleh itu dalam membincangkan kalangan Muslim ketiga dan keempat adalah mereka yang percaya akan peristiwa ini dan seterusnya mengambil pengajaran besar dari kisah perjalanan Nabi SAW ini. Hasil dari peristiwa inilah sebenarnya umat Islam boleh jadikan sebagai salah satu panduan di dalam pembentukan ketamadunan umat Islam sendiri. Panduan ketamadunan itu sama ada dari segi peradabannya dan juga tamadun kebendaan dan keilmuannya.

Dari segi panduan peradaban, pengajaran dari peristiwa ini banyak menyumbang kepada sistem kemasyarakatan sehingga tidak dapat dinafikan lagi. Sebagaimana disebut dalam sirah Ibn Hisham bahawa, Keburukan-keburukan seperti keburukan orang yang memakan harta anak yatim, orang yang memakan harta riba, laki-laki penzina, wanita-wanita penzina dan sebagainya (Ibn Hisham, 2002 hlm.367). Gambaran balasan kejahatan ini, jika difahami akan menyedarkan kita mengenai keburukan dan siksaan perbuatan ini. Menghindari kejahatan seperti ini akan memberikan keharmonian kepada sesuatu bangsa itu dan secara langsung dapat membina peradaban bangsa berkenaan.

Dalam satu tulisan menyebut bahawa, pengalaman rohani yang utama hasil peristiwa israk mikraj ini merupakan contoh perjalanan rohani dan ibarat kiasan kepada kehidupan spiritual umat Islam umumnya. Malam pengembaraan “laylat al-Mi’raj ialah cermin kepada malam qadar (laylat al-qadr). ..Pengalaman Nabi dalam peristiwa mikraj ini menjadi inspirasi kepada ramai penulis Islam termasuklah pengaruhnya dalam karya-karya Ibn Arabi dan Sana’i yang kemudiannya mempengaruhi penulis dan kesusasteraan Eropah terutamanya Dante seperti yang dapat dilihat dalam karyanya Divine comedy. Peristiwa mikraj ini juga menjadi sumber ilham para wali dan ahli mistik Islam dari satu generasi ke satu generasi dan juga menggariskan asas kosmos Islam (Seyyed Hussein Nasr, 1994, hlm.17)


Namun begitu sebenarnya, Apa yang perlu dan penting sekali bagi umat Islam perpanjangkan kisah realiti ini ialah pengaplikasiannya dan pengadaptasian pengetahuan hasil anugerah terhadap Nabi SAW ini dalam aspek sains dan teknologi, sains angkasa, kosmologi dan sebagainya yang akhirnya boleh menyumbang kepada kemajuan tamadun Manusia. Sekadar menyebut beberapa contoh sahaja sebagaimana di bawah.


1. Burak; adalah suatu perlambangan kenderaan terpantas meneroka angkasa lepas. Orang Barat menggunakan kenderaan angkasa untuk meneroka planet Marikh contohnya. mengambi masa beberapa tahun untuk pergi dan kembali.
2. Masa; masa di sisi Tuhan adalah panjang berbanding masa dunia. Rasulullah SAW meneroka 7 lapisan langit hingga menemui Tuhannya dalam masa satu malam sahaja.
3. Alam; adalah ‘ma siwallah-apa atau sesuatu selain Allah’ keluasannya tidak terkira. …..ketika baginda melihat dengan mata batin dari sidrat al-muntaha ke alam ini. (Husein Haikal, 1989, hlm.157). Hal ini sudah pasti pada masa itu boleh melihat keseluruhan bumi ini yang bulat bentuknya.
4. Aspek-aspek sains dan teknologi serta keilmuan lain seperti aspek perubatan, kisah-kisah masa depan, hirarki sesebuah kerajaan dan sebagainya

Cukuplah sekadar membayangkan beberapa contoh sahaja panduan ketamadunan hasil dari reality peristiwa israk dan mikraj ini kepada kemajuan ilmu serta sains dan teknologi. Sebenarnya banyak lagi panduan ketamadunan yang boleh diambil dari kisah isra dan mikraj ini dalam banyak aspek ilmu pengetahuan. Kalau kita meneliti banyak pembikinan filem Hollywood sebagai contoh lain, sebenarnya jika diselidiki akan menyerlahkan suatu pengadaptasian dari kisah isra’ dan mikraj ini. Orang Barat juga begitu maju dalam bidang sains angkasa, sedangkan cetusan mengenai sains angkasa dan penerokaan angkasa lepas itu telah dicetuskan sedemikian lama oleh baginda SAW melalui peristiwa Israk dan Mikraj.

Sebagai kesimpulannya peristiwa Isra Mikraj adalah suatu kejadian yang benar-benar berlaku dalam sejarah kehidupan Nabi SAW yang menjadi suatu anugerah kebesaran baginda SAW sebagai kekasih Allah dan nabi Akhir zaman. Peristiwa ini banyak mendatangkan kesan kepada kehidupan beribadat, bermasyarakat dan kehidupan keilmuan umat Islam dan manusia keseluruhannya. Dalam kehidupan beribadat Solat contohnya adalah ibadat terpenting yang diterima oleh baginda SAW secara terus dari Allah SWT.. Dalam kehidupan bermasyarakat pula. Segala peristiwa yang disaksikan oleh Nabi SAW mengenai keburukan mengumpat, riba, perbuatan zina dan sebagainya adalah mampu membentuk masyarakat berperadaban dan berharmoni. Akhir sekali peristiwa ini banyak mencetuskan dan membuka jalan kearah penerokaan pelbagai ilmu sains dan teknologi seperti kemajuan sains angkasa dan seterusnya menjadi panduan kepada ketamadunan manusia.

wallahua'lam...